Tuesday, February 3, 2009

SALJI TEBAL MELANDA LONDON

LONDON: Salji tebal yang turun semalaman di Britain menyebabkan kelewatan perjalanan di seluruh negara semalam, termasuk gangguan penerbangan pada masa puncak sebelah pagi selain memaksa penutupan berpuluh-puluh sekolah. Semua perkhidmatan bas awam di London tergendala kerana keadaan jalan berbahaya.

Beberapa rangkaian kereta api bawah tanah ditutup dan yang lain sedang berusaha mengatasi kelewatan teruk semalam. British Airways dalam laman webnya berkata: "Penerbangan ke dan dari semua lapangan terbang London terutama London City dan Heathrow, mengalami kelewatan dan pembatalan." BAA Ltd, yang mengendalikan beberapa lapangan terbang di Britain meminta penumpang menelefon syarikat penerbangan sebelum bertolak ke lapangan terbang Heathrow, Gatwick dan Stansted.

Tenggara England paling terjejas teruk dengan salji setebal 25 sentimeter dilaporkan di sesetengah kawasan termasuk daerah Kent, Surrey dan Sussex, menurut Pejabat Meteorologi (Met Office), perkhidmatan kaji cuaca rasmi Britain. Kawasan di ibu kota ini dilihat dilitupi salji setebal hampir 0.3 meter. Menurut pakar pejabat berkenaan, salji turun berterusan sepanjang hari di kebanyakan kawasan dan sedang memantau satu lagi ribut salji menuju ke arah England dari Perancis yang mungkin tiba di Kent sekitar tengah hari serta bergerak ke arah barat laut sebelah petang. Keadaan cuaca memaksa penutupan lebih 50 sekolah di Kent. - AP

No comments: